|
.::| Pahit Manis Kehidupan |::.
Sesekali saya terpandang gambar-gambar lama ketika saya masih kecil. Heh. Kadangkala, saya ketawa sendiri. Kadangkala, saya rasa bagaikan ingin menitiskan air mata apabila mengenangkan kisah-kisah lalu. Hmm. Banyak betul memori di dalam kepala saya. Kenangan dengan rakan-rakan di sekolah mahupun di luar, dengan keluarga yang tersayang, dan yang masih kekal dalam ingatan saya, kenangan dengan arwah nenek dan datuk saya yang telah kembali ke Rahmatullah.
Sedih saya dibuatnya memikirkan tentang mereka. Mana tidak? Kedua-duanya telah banyak berjasa kepada kami sekeluarga. Mereka adalah orang yang baik hati dan penyayang. Saya masih ingat lagi sewaktu keluarga saya pergi ke rumah mereka di Hougang, mereka melayan kami dengan penuh kasih sayang. Arwah nenek akan masak pelbagai lauk-pauk yang sedap, dan kami semua akan makan beramai-ramai di meja bulat yang terletak berdekatan dengan dapur. Kita akan bergurau; bercerita tentang kejadian-kejadian yang melucukan. Sambil itu, arwah datuk akan selalu berlawak jenaka dengan teka-tekinya yang kadang-kala tidak masuk akal, tetapi memecah perut! Hehe. Apabila kami semua hendak pulang, mereka selalu memberi kami tiga beradik wang 'jajan' seperti $10, yang pada masa itu sudah agak lumayan. Kami cuba sedaya-upaya untuk menolaknya, tetapi dengan pujuk-rayu mereka, kami terima juga. Betapa untungnya saya mendapat datuk dan nenek seperti itu! Jangan salah faham! Saya menyayangi mereka bukanlah kerana wang ringgit yang mereka berikan. Salah! Saya menyayangi mereka kerana kasih sayang mereka yang telah mereka berikan kepada kami. Alangkah pilunya hati ini apabila mereka sudah tiada lagi! Tiada lagi tempat mengadu masalah.... Haiz. Mungkin apa yang terjadi ada hikmahnya sendiri. Tuhan lagi menyayangi mereka. Seperti kata orang, yang hidup pasti akan mati. Semoga roh mereka diletakkan dengan orang-orang muslimin. Saya akhiri kisah saya ini dengan beberapa titisan air mata yang jatuh ke pipi... .::| Bencana Alam Atau Balasan Tuhan? |::.
Hmm. Baru-baru ini, kita banyak mendengar berita tentang bencana-bencana alam yang berlaku di bumi kita. Antaranya ialah gempa bumi, ledakan gunung berapi dan juga yang paling terkenal sekali, peristiwa tsunami yang berlaku pada Disember tahun lalu. Akibatnya, banyak jiwa yang terkorban.
Tidak lupa pula tentang mereka yang kehilangan segala-galanya seperti rumah, harta, tanah, binatang ternakan dan lebih-lebih lagi sanak-saudara yang terdekat. Sebak hati saya dibuatnya apabila memikirkan tentang nasib mereka yang malang itu berbanding dengan nasib kita yang agak baik di Singapura. Kita dikirakan beruntung bermastautin di sebuah negara yang jauh dari segala bencana...TETAPI, janganlah kita mengambil sambil lewa dengan keselamatan kita kerana perkara-perkara seperti itu boleh berlaku bila-bila masa sahaja! Ini semua adalah kudrat Tuhan. Jika Dia inginkannya berlaku, terjadilah. Wah, saya berkata-kata seperti seorang khatib yang memberi khutbah pada solat Jumaat pula! Saya baru sahaja membaca sebuah artikel Berita Minggu keluaran 24 April 2005. Artikel yang berada di muka surat 6 dan 7 itu mengenai gunung berapi. Saya menimba banyak ilmu tentang gunung berapi seperti bagaimana ianya terjadi. Gunung berapi kini dikhuatiri ramai kerana terdapat banyak gunung-gunung yang masih 'hidup' di pulau-pulau kejiranan kita di Indonesia. Ya, Indonesia mempunyai lebih 130 gunung berapi yang aktif, dan 11 daripadanya sedang dikawal rapi oleh para saintis kerana telah menampakkan tanda-tanda akan meletup. Seramkan? Meremang bulu roma saya. Bayangkan, gunung berapi meledak di hadapan kamu lalu laharnya menghapuskan segala harta benda, termasuk rumahmu! Gunung berapi mempunyai pelbagai jenis. Antaranya ialah Gunung Berapi Raksasa, Gunung Berapi Kubah, Gunung Berapi Abu-Bara dan macam-macam lagi! Tanda-tanda ia akan meletup termasuk kebocoran gas, gegaran, pengurangan mendadak dan bonjolan besar. Haiz. Mengapakah ledakan gunung berapi berlaku? Adakah ianya satu bencana alam kerana bumi kita yang sudah lanjut usia atau kerana balasan Tuhan kepada penduduk-penduduk bumi kerana dosa-dosa yang mereka lakukan sepanjang hayat mereka?! Saya pun tidak tahu. Walau bagaimanapun, kejadian gunung berapi sudah pasti akan berlaku. Sama ada di negeri orang, ataupun di negara kita. Siapa tahu? Mungkin ianya akan terjadi dalam masa terdekat ataupun beberapa ribu tahun lagi? Wallahualam... .::| Sukarelawan Yang Terpaksa |::.
Haiz. Saya masih berasa penat dan letih kerana peristiwa semalam. Ya. Pada hari Ahad itu, saya telah menghadiri madrasah saya di Masjid Al-Muttaqin yang terletak di Ang Mo Kio seperti biasa. Oleh kerana saya terlewat bangun tidur, saya terpaksa kelam-kabut tanpa bersarapan. Setibanya di sana, saya terkejut mati apabila mendapati bahawa terdapat sebuah khemah yang agak besar di dalamnya. Baru saya teringat! Majlis Haflah sempena Mulidul Rasul! Saya hampir terlupa tentangnya. Jadi, saya terus bergegas masuk kelas dengan selamba. Haiz. Saya harus menghadap muka ustazah yang bertukar-tukar mengikut subjek. Dengan perut yang lapar, saya terpaksa menumpukan perhatian dengan seksanya. Saya tertidur dua-tiga kali. Penat dan mengantukkan betul! Tiba-tiba, loceng berbunyi. Baik! Masa untuk makan! Hehe.
Saya terus lari ke bawah. Wah! Alangkah baiknya nasib saya. Seperti sudah mengantuk dihulurkan bantal. Saya mendapat tahu bahawa kami akan dihidangkan nasi briyani. Tentu sedapkan? Apa tidaknya? Makanan yang tidak sedap pun akan menjadi enak jika perut sudah lapar! Semasa saya ingin duduk untuk menjamu selera, seorang ustazah menegur saya. Bukan main terperanjat beruk saya dibuatnya kerana kami harus menjadi sukarelawan yang menghidangkan nasi itu kepada semua murid serta orang luar di sana! Saya tawar hati. Terpaksalah saya menghidang mereka. Hai nasib... Ketika menjalankan tugas, saya terserempak dengan beberapa orang yang saya kenali, seperti Cikgu Syarifah, dua sahabat lama saya dan juga ibu saya. Hmm. Kerja itu tidak seteruk yang disangkakan. Malah, ianya lebih menyeronokkan kerana saya dapat bergaul dengan ramai kawan madrasah yang tidak saya kenali. Pelikkan? Selama empat tahun, baru saya dapat mengetahui nama mereka. Setelah selesai tugas kami, tibalah masanya untuk menjamu selera. Saya makan seperti seorang budak pengemis yang sudah berminggu-minggu tidak makan. Hehe. Pada mulanya, saya ingin menambah lagi satu dulang, tetapi, saya tidak kesampaian apabila memikirkan tentang rakan yang lain. Terpaksalah membatalkan niat tersebut... Walau bagaimanapun, saya berasa seronok. Menjadi seorang sukarelawan bukanlah seteruk mana. Saya cuma malas sahaja dan juga lapar. Hehe. Hmm. Pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Sesuatu yang berpelajaran. Seronok betul! .::| Anugerah Terunggul |::.
Kucipta ini sajak
kerana jiwa sebak mendesak dan hiba perasaan teriak teresak. Bahawa pemergianmu perah air mataku. Sajakku ini pengganti seuntai tangisan dari anak di seberang tambak yang cintakan perjuanganmu Perjuangan yang belum selesai akan tetap kami persampai hingga bangsa di puncak mahligai hingga semua cita tercapai Percayalah akan kusebut jua sepatah madah indahmu: ayam di kepuk mati kelaparan itik di air mati kehausan Hmm. Baguskan puisi di atas? Ia dipetik dari sebuah buku yang bertajuk Autobiografi Seorang Wartawan dari Kodiang ke Jalan Riong. Saya baru sahaja selesai membaca sebuah buku yang bertajuk Anugerah. Kalau tidak silap saya, kedua-dua buku itu ditulis oleh Encik Tajuddin Saman. Beliau adalah seorang penulis yang sungguh berbakat. Seorang penulis cerpen yang sungguh berdedikasi. Wah! Buku Anugerah ialah sebuah kisah mengenai wartawan yang bernama Nurul yang telah memenangi Anugerah Tinta Emas-Wartawan Harapan Nagara. Nurul berasal dari sebuah kampung. Dia mula berjinak-jinak dengan karangan sejak di bangku sekolah lagi. Pada suatu hari, dia mengambil keputusan untuk mencari kerja di bandar sebagai seorang wartawan majalah. Dia tekun bekerja. Walau bagaimanapun, dia berhenti bekerja kerana ideanya tidak diterima. Dia pun mencari kerja di tempat yang lain dan mendapat jawatan yang sama. Dia bekerja dengan sangat rajin, sehinggakan salah satu artikelnya telah terpilih untuk memenangi anugerah tersebut. Nurul bermegah diri dan bercakap besar semasa dia memberi ucapan ketika menerima anugerah itu, tetapi dengan kuasa Tuhan, sesuatu yang pelik terjadi kepadanya sehingga dia menyedari kesilapannya iaitu tidak bersyukur kepada Allah yang telah memberi rezeki itu. Pada pendapat saya, cerpen itu sangat baik. Dari segi isi mahupun bahasa. Ia menyampaikan mesej yang agak mendalam; kita harus sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Sikap tidak putus asa Nurul juga patut dicontohi kerana ia akan dapat membantu kita dalam kehidupan. Saya memberi buku itu 4 bintang. Wassalam. .::| Mana Hilangnya Keharmonian Kaum? |::.
Saya baru sahaja pulang dari perpustakaan Woodlands. Wah, sungguh ramai orang di sana. Ada yang sedang belajar, ada yang berbual-bual, malah, ada yang seronok tidur! Berdengkur pulak tu! Hai. Kesian. Hmm, di rumah mereka tiada kipas agaknya! Hehe. Baiklah. Tujuan saya pergi ke sana adalah untuk meminjam buku cerita Melayu. -.-"
Perpustakaan? Buku-buku cerita? *duh* Saya berjaya mendapat sebuah antologi cerpen yang mengandungi hampir 7 cerita. Hehe. Saya memilihnya kerana ia mengandungi cerita-cerita dongeng yang menarik seperti Sang Kancil dan lain-lain lagi. Saya amat tertarik dengan tajuk Si Arnab Dan Si Kura-kura. Sangat melucukan. Ia mempunyai pelajaran yang baik: Jangan berlagak sombong, kerana yang lemah mungkin akan dapat mengalahkan awak. Hehe. Sebaik sahaja saya meminjam buku, saya terus berjalan keluar untuk pulang. Dalam perjalanan pulang, saya ternampak suatu kejadian yang amat mengejutkan. Tidak jauh dari tempat saya berdiri, terdapat seorang wanita tua yang berbangsa Tamil yang sedang membawa banyak barang. Mungkin dia baru pulang dari pasar raya NTUC. Tiba-tiba, dia tergelincir kerana jalan itu agak licin disebabkan hujan petang. Saya sangkakan ada orang yang akan menolongnya. Namun, jangkaan saya salah! Tiada seorang pun yang menampilkan diri untuk membantunya. Sebaliknya, mereka hanya memerhatikannya sahaja lalu berjalan dengan lebih pantas. Ada juga yang mentertawakan wanita tersebut! Biadab sungguh mereka itu! Hatiku yang riang mula membara. Tidakku sangka rakyat Singapura begitu mementingkan diri sendiri! Nasib baik ada seorang lelaki yang baik hati datang untuk memberi pertolongan kepadanya. Apa hendak jadi dengan mereka semua?! Ke manakah hilangnya sifat tolong-menolong antara satu sama lain yang mereka kata-katakan?! Inikah caranya mereka berdepan dengan orang yang memerlukan pertolongan?! Haiz. Saya amat kecewa dengan sikap mereka itu. Selepas peristiwa itu, saya terus pulang ke rumah tanpa singgah ke mana-mana. Saya masih memikirkan tentang kejadian yang berlaku. Mungkinkah rakyat Singapura sudah berubah? Hmm. Saya harap keharmonian kaum masih wujud antara kita...
|
![]()
Muhammad Zakaria
| | 03/01/2005 - 04/01/2005| | | 04/01/2005 - 05/01/2005| | | 11/01/2007 - 12/01/2007| | | 12/01/2007 - 01/01/2008| |
si pengomel
tiada lagi ku dengar kidung mu |